Mohd Muazzam Mohamed bersama piala Anugerah Al-Mansor bagi Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam yang dimenangi dalam Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memenangi Anugerah Al-Mansor bagi Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam di Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) baru-baru ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf sumbangan dan prestasi cemerlang Bank Islam dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia, seiring dengan persekitaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed telah menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada Malam Penghargaan Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 baru-baru ini.

Mohd Muazzam Mohamed berkata, penganugerahan berprestij ini menandakan permulaan yang baik bagi Bank Islam untuk tahun 2020 serta pendorong untuk mempertingkatkan usaha demi mencapai tahap lebih tinggi.

Katanya, sejak ditubuhkan pada tahun 1983 Bank Islam terus berkembang kukuh dalam mendepani cabaran dan terus meneroka potensi pasaran serta komited untuk menawarkan produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang relevan dan terkini serta memenuhi keperluan pelanggan.

Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 bertujuan mengiktiraf kecemerlangan individu dan institusi pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, perniagaan serta pertubuhan sosial.

Anugerah ini juga merupakan satu usaha untuk menyokong dan memberi inspirasi bagi mencapai kemajuan, membentuk daya tahan dan meraih kejayaan pihak terlibat tanpa mengetepikan martabat, warisan serta sejarah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast