Datuk Seri Anifah Aman
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dan berbual mesra bersama bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman diiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin (kiri) ketika hadir pada Ceramah Perdana DUN Bongawan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 08 JANUARI 2020

KIMANIS – Jasa Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mengasaskan kementerian luar bandar sepatutnya dihargai dan bukan dipertikaikan termasuk menyifatkannya sebagai gagal membangunkan kawasan luar bandar.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, mana-mana pihak tidak sewajarnya membangkitkan perkara ini semata-mata untuk meraihkan kelebihan politik, lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Saya rasa eloklah mana-mana pandangan orang yang telah mengasaskan kementerian ini yang telah mengadakan pembangunan sesuai dengan zamannya itu tidak diungkit atau dibangkit.

“Kita hargai jasa termasuk jasa beliau (Tun Abdul Razak) sebagai menteri luar bandar kerana beliau telah melakukan sesuatu yang sesuai dengan era beliau ketika menjadi menteri.

“Saya fikir perkara-perkara ini jangan dijadikan sebagai satu perkara semata-mata mencapai matlamat dan tujuan politik,” katanya kepada pemberita di Kg Malawaring, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah selaku Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyifatkan Perdana Menteri kedua itu gagal membangunkan kawasan luar bandar.

Perkara itu timbul apabila jentera BN yang berkempen menyalahkan Mohd Shafie yang gagal membangunkan Sabah dalam menyediakan infrastruktur di luar bandar sedangkan kementeriannya mempunyai peruntukan kedua terbanyak dalam belanjawan negara.

Ahli Parlimen Semporna itu turut menyifatkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai menteri kampung yang gagal susulan kemudahan asas untuk masyarakat orang asli di Parlimen Raub masih tidak dipenuhi. – MalaysiaGazette

Kalau saya gagal, Tun Razak pun gagal – Shafei