Arun Dorasamy

KUALA LUMPUR – Kenyataan ringkas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mengaitkan “isu tanglung” dengan “isu Jawi”  mengundang reaksi.

Setiausaha Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) Nasional, Arun Dorasamy berkata, tindakan mengaitkan dua isu berlainan seakan-akan menghasut permusuhan antara kaum dan Nie Ching harus memohon maaf.

“Kenyataan Nie Ching menunjukkan beliau masih tidak faham kenapa kaum bukan Muslim membantah pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu tahun empat di sekolah vernakular,” katanya kepada China Press.

Arun berkata, kaum bukan Muslim tidak membantah tiga muka surat pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks, tetapi apa yang dibimbangkan adalah hala tuju yang tidak jelas untuk tahun lima dan enam, malahan di sekolah menengah.

“Walaupun Nie Ching asyik menegaskan ia hanya pengenalan yang tidak membabitkan peperiksaan, tetapi dokumen standard kurikulum dan pentaksiran (DKSP) merupakan satu dokumen yang boleh diubah pada bila-bila masa.

“Nie Ching tidak pernah memberi jaminan kepada pihak yang membantah bahawa tulisan Jawi tidak akan dimasukkan dalam peperiksaan pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada pegawai yang jelas, malahan timbalan menteri juga tidak jelas akan kandungan pelajaran masa depan.

“Kalau tidak jelas, maka ia harus dinyatakan secara hitam putih. Namun malangnya, tiada jaminan dapat diberikan sehingga sekarang,” katanya.

Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 di Selangor dilaporkan menanggalkan perhiasan Tahun Baharu Cina selepas menerima aduan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz

Perhiasan itu bagaimanapun dipasang semula selepas mendapat perhatian pelbagai pihak.

Sekolah itu juga menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, beberapa orang menteri serta wakil rakyat termasuk Nie Ching sendiri selepas isu perhiasan itu mencetuskan kontroversi. – MalaysiaGazette