KUALA LUMPUR- Papan iklan yang memaparkan wajah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun bukan papan iklan baharu sebaliknya telah dipasang sejak pertengahan Disember tahun lepas ketika beliau melakukan lawatan kerja ke Membakut, Sabah.

Menurut Setiausaha Akhbarnya, Raja Noor Azlinda Raja Bahari Shah, papan iklan itu juga bukan dibuat oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Sebaliknya ia adalah hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif sebagai mengalu-alukan dan menghargai lawatan para menteri kerajaan Persekutuan yang melaksanakan program rakyat di kawasannya.

“Papan iklan tersebut bukan baru dipasang masa pilihan raya kecil (Kimanis) tetapi telah terpampang sejak pertengahan bulan Disember 2019 ketika lawatan kerja YB Datuk Seri Rina ke Membakut.

“Bukan setakat YB Datuk Seri Rina, sebelum itu ramai lagi gambar Menteri Persekutuan yang datang ke Membakut terpampang di papan iklan tersebut.

“Itu cara orang Sabah dan Sarawak meraikan menteri persekutuan,” katanya.

Papan iklan yang memaparkan wajah Rina bersama Mohd. Ariffin dengan ayat “Moga Dipermudahkan Perjalanan. Rahmat Ilahi Naungi Anda” dan mengandungi akronim RINA menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Ramai yang mengaitkan papan iklan tersebut sebagai salah satu kempen yang dijalankan oleh beliau sempena PRK Kimanis 18 Januari ini.- MalaysiaGazette