Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menggunakan menaiki sistem Transit Aliran Ringan (LRT) ketika hadir pada sidang media bersama Pengurusan Prasarana di Menara UOA, Bangsar, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 09 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR- Mengikut data yang diperoleh Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) terdapat pemegang pas perjalanan tanpa had My100 berjaya berjimat sehingga RM1,900 sebulan.

Ia berlaku apabila mereka menggunakan kemudahan subsidi yang diperkenalkan kerajaan sejak 1 Disember 2018.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pengguna tersebut membuat perjalanan bernilai RM2,000 sebulan dengan menggunakan pengangkutan awam dan hanya perlu membayar RM100 sahaja untuk melanggan pas perjalanan tanpa had My100.

“Dia membuat perjalanan sehingga RM2,000 sebulan atau kira-kira RM70 sehari.

“Kita tidak tahu dia bekerja sebagai apa atau apa tujuan penggunaan pas tersebut, dia mungkin penghantar barang tetapi apa yang penting adalah pas tanpa had yang diperkenalkan sejak setahun lalu ini berjaya mencapai sasarannya untuk meringankan beban sara hidup rakyat.

“Ia merupakan salah satu inisiatif yang telah dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan dan sebaik sahaja saya mengangkat sumpah, ia menjadi antara agenda utama saya,” katanya semasa taklimat media dan mesyuarat dengan pengurusan kanan Prasarana di ibu pejabat syarikat tersebut hari ini.

Pas perjalanan tanpa had My100 boleh digunakan untuk kemudahan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, BRT dan bas di sekitar Lembah Kelang manakala pas perjalanan tanpa hada My50 hanya untuk kegunaan bas sahaja. Di Pulau Pinang pula, kerajaan memperkenalkan kemudahan yang sama yang dikenali sebagai Mutiara.

Dengan sambutan memberangsangkan itu, Kementerian Pengangkutan menyasarkan pengguna aktif pas perjalanan tanpa had My100 meningkat kepada 200,000 pada tahun ini berbanding 110,000 yang dicatatkan tahun lepas.

Anthony menjelaskan, beberapa strategi yang bakal dilaksanakan untuk mencapai sasaran tersebut antaranya dengan meminta Prasarana menubuhkan pasukan pemasaran untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat korporat terletak berhampiran stesen pengangkutan awam.

Selain itu, Prasarana selaku pengendali operasi syarikat pengangkutan awam rel dan bas perlu memastikan para pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Pengguna mahu pengalaman manis dan disebabkan itu kita kena selalu memaklumkan perkembangan terkini inisiatif ini supaya ia menjadi perbualan pengguna.

“Kita tahu masih ramai pengguna yang boleh ditarik untuk melanggan pas perjalanan tanpa had ini.

“Mengikut data daripada Prasarana bagi pengguna My100 hanya 27 peratus daripada pengguna rel dan ini bermakna ada 73 peratus lagi yang boleh kita tarik.

“Kami faham bukan semua akan membeli pas perjalanan tanpa had ini kerana mereka tidak menggunakan perkhidmatan awam dengan kerap,” katanya lagi.- MalaysiaGazette