Perompak bersenjata menembak mati tiga mangsa sebelum melarikan barang kemas bernilai 500,000 baht.

BANGKOK- Tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun terbunuh apabila seorang perompak bertopeng melepaskan tembakan dalam satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas.

Menurut pihak polis, empat lagi mangsa mengalami kecederaan teruk apabila perompak mula melepaskan tembakan rambang dengan sepucuk pistol pada malam Khamis sebelum melarikan diri bersama barangan kemas bernilai 500,000 baht.

Kejadian berlaku di pusat wilayah Lopburi.

Rakaman CCTV menunjukkan penyerang menyerbu masuk ke dalam kedai yang terletak di sebuah pusat membeli-belah sebelum melepaskan tembakan dan melompat ke arah kaunter.

Timbalan Komander Sumeth Punsri berkata, serangan maut itu berlaku dalam tempoh satu minit sebelum penyerang berjaya melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Pihak berkuasa menawarkan 100,000 baht kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat sehingga penjenayah tersebut berjaya ditangkap.- MalaysiaGazette