BEIRUT, Lubnan – Salah seorang komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata beberapa tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh dan cedera dalam serangan yang dilakukan ke atas Pengkalan Udara Ayn Al-Assad di barat Iraq.

Menurut Fars News Agency, komander PRGC, Brigadier Jeneral Hajj Zada berkata, risikan pihaknya mendapati tentera AS membawa keluar anggota yang cedera di Pengkalan Udara Ayn Al-Assad walaupun Washington mendakwa tiada kematian atau kecederaan dalam serangan itu.

“Operasi kami ini bukan bertujuan untuk membunuh sesiapa dan walaupun pasti berpuluh orang telah terbunuh dan cedera dan mereka dibawa keluar dengan menggunakan pesawat C-130, tetapi jika kami mahu melakukan pembunuhan, kami boleh merancang operasi itu yang mana 500 orang boleh terkorban pada langkah pertama,” kata Zada seperti dipetik Fars News.

“Jika terdapat tindak balas, keadaannya mungkin berubah dan bilangan mereka yang mati mungkin antara empat hingga lima ribu dalam langkah kedua dan ketiga,” tambah beliau.

“Amerika mengumumkan bahawa mereka berada dalam keadaan siap siaga sejak beberapa hari, oleh itu 12 pesawat mereka termasuk 7 pesawat MQ-9 (pesawat tanpa pemandu) dengan misi mengintip dan berperang dan enam atau tujuh dron melakukan rondaan secara intensif dan mereka menunggu dengan cemas.

“Kami menjangka mereka akan bertahan, tetapi kami nampak mereka menunggu untuk ditampar dan apabila mereka ditampar mereka tenang,” tambah beliau.

Zada menambah, sembilan buah pesawat pengangkut AS memindahkan anggota tentera yang mati dan cedera ke Israel, Jordan dan sebuah hospital yang berdekatan dengan keduataan AS di Baghdad. – Agensi