Bangunan Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Pattani di Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 08 JANUARI 2020.

PATTANI – Majlis agama Islam di tiga wilayah di selatan Thailand di sini tidak mengiktiraf pernikahan rakyat Malaysia yang dilangsungkan di sempadan Sungai Golok dan Sadao mengikut saluran yang dilakukan oleh satu sindiket.

Malah, pihak berkuasa agama itu juga tidak mengeluarkan sebarang sijil dan surat pengesahan perkahwinan kepada pasangan yang bernikah menggunakan saluran itu, kata Setiausaha Majlis Agama Islam Pattani, Salahuddin Yusuf.

Beliau berkata, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket akan dikenakan bayaran menjangkau 30,000 Baht (RM4,055) dan mereka tetap berdepan dengan pelbagai masalah selepas pernikahan selamat dilangsungkan.

“Mereka yang bernikah melalui sindiket itu akan mengalami masalah sama ada di negara ini mahupun selepas pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Perkahwinan di luar sempadan sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutama di Selatan Thailand khususnya Pattani, Narathiwat, Golok dan Satun terutamanya bagi lelaki yang mahu berpoligami.

Keadaan itu didorong oleh dua kemungkinan iaitu kerana mahkamah tidak memberi izin untuk berpoligami ataupun ingin merahsiakan perkahwinan daripada pengetahuan isteri pertama atau pun kedua-dua sekali.

Bagaimanapun, mereka yang memilih jalan itu ada yang tidak bernasib baik apabila berdepan masalah pengiktirafan sijil pernikahan daripada pihak berkuasa agama di Malaysia sehingga ada dalam kalangan mereka mengalami kesukaran di kemudian melibatkan masa depan anak-anak.

Tanpa sijil nikah, jika mereka dikurniakan anak, mereka tidak dapat mendaftar kelahiran anak di bawah kategori anak sah nikah.

Jika ditakdirkan mereka mahu bercerai pula, mahkamah tidak dapat mengesahkan perceraian sehinggalah sijil nikah ditunjukkan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Salahuddin menegaskan, majlis agama di tiga wiayah itu juga tidak membenarkan pernikahan pasangan bawah umur 18 tahun termasuk pasangan dari Malaysia.

Bagaimanapun katanya, kelonggaran diberikan kepada pasangan terutama wanita bawah 18 tahun yang membawa dan mendapat keizinan ibu bapa mereka untuk melangsungkan perkahwinan.

“Thailand memang menetapkan syarat wanita dan lelaki yang ingin mendirikan rumah tangga hanya pada umur atas 18 tahun.

“Namun, kita bagi kelonggaran dengan membenarkan atau menikahkan pasangan yang berumur bawah 18 tahun yang membawa ibu bapa mereka dan mendapat persetujuan dari kedua ibu bapa pasangan” ujarnya.

Mengulas lanjut, Salahuddin memberitahu, bagi pasangan bawah umur yang mahu bernikah mereka juga perlu membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan untuk berbuat demikian.

Sebahagian orang yang hadir untuk membuat permohonan pernikahan di Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Pattani, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 08 JANUARI 2020.

Katanya, sepanjang tahun lalu majlis agama Islam di tiga daerah berkenaan merekodkan sebanyak 180 pasangan bernikah termasuk mereka yang bergelar ‘Datuk’.

Ujarnya, kebanyakan pasangan dari Malaysia yang bernikah di Pattani merupakan mereka yang mendirikan pernikahan buat kali kedua atau berpoligami.

Mereka terpaksa menggunakan cara tersebut untuk mengelakkan daripada diketahui isteri pertama, atau mengelak daripada diketahui keluarga serta anak-anak dan rakan terutama melibatkan penjawat awam dan mereka yang berprofil tinggi. – MalaysiaGazette