KUALA LUMPUR – Bursa Singapura menghentikan keperluan menghantar laporan prestasi pendapatan sukuan yang dikenakan kepada semua syarikat yang modal pasarannya sekurang-kurang S$75 juta (AS$56 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif Peraturan Bursa Singapura (SGX RegCo), Tan Boon Gin berkata, perubahan peraturan itu berkuatkuasa pada 7 Februari ini.

Katanya, hanya syarikat-syarikat yang berisiko sahaja perlu untuk melaporkan pendapatan setiap tiga bulan.

SGX RegCo juga akan mengetatkan peraturan pendedahan lain dan memperkenalkan dasar pemberi maklumat sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi para pelabur.

Tambah Tan, bursa global lain juga telah menghentikan pelaporan suku tahunan untuk semua syarikat.

Kesatuan Eropah telah melaksanakannya pada tahun 2013, sementara Hong Kong pula menguatkuasakan peraturan itu kepada syarikat-syarikat bermodal kecil di bursa.

Manakala Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat pula sedang menyemak pelaksanaan peraturan itu.

“Di peringkat antarabangsa, terdapat peralihan dari laporan suku tahunan dan ini membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada jangka panjang,” kata Tan.

Kira-kira 75% daripada pasaran tempatan Singapura menyediakan laporan setiap suku tahun, menurut SGX RegCo.

Di bawah polisi baru Singapura, sebuah syarikat tersenarai perlu melaporkan setiap suku tahun dalam keadaan termasuk apabila ia menerima laporan yang disahkan uruaudit atau apabila mereka menyatakan keprihatinan terhadap syarikat itu.

Keperluan juga boleh dikenakan sekiranya SGX RegCo mempunyai kebimbangan mengenai pelanggaran pendedahan, misalnya. – MalaysiaGazette