Syed Mohamed Syed Ibrahim

JOHOR BAHRU – Johor Corporation (JCorp) mengumumkan pelantikan Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim selaku Presiden & Ketua Eksekutif JCorp yang baharu berkuat kuasa semalam.

Pelantikan beliau adalah untuk mengisi kekosongan jawatan itu selepas Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, bersara pada 31 Disember 2019.

Syed Mohamed mempunyai pengalaman luas dan kepakaran lebih 34 tahun dalam bidang perbankan, korporat, pembangunan hartanah, teknologi dan strategi perniagaan dengan memegang Ijazah Ekonomi (Ekonomi Analisa) dari Universiti Malaya.

Menteri Besar merangkap Pengerusi JCorp, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, seluruh Ahli Lembaga Pengarah dan warga Kumpulan JCorp mengalu-alukan pelantikan Syed Mohamed.

Menurutnya, mereka juga yakin Syed Mohamed berupaya meneruskan kemapanan dan daya saing JCorp yang telah beroperasi lebih lima dekad berdasarkan peranannya selaku agen pembangunan negeri selaras dengan misi – Membina dan Membela.

Sebelum dilantik menerajui konglomerat negeri Johor ini, Syed Mohamed pernah menyandang jawatan Pengerusi FELDA Investment Corporation; Presiden & Pengarah Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd; Pengerusi Encorp Berhad; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad; Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties Sdn Bhd serta Pengarah Kumpulan DRB-HICOM.

Beliau memulakan kerjaya di Bank Bumiputera (M) Bhd dan Bank Rakyat sebelum menyertai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (kini JCorp) pada tahun 1989 hingga 1993.

Syed Mohamed juga merupakan Pengerusi Prasarana Integrated Development Sdn Bhd serta Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Kanser Tunku Laksaman. – MalaysiaGazette.