Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Islam dan Tamadunnya di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC) , Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Meskipun menghargai keprihatinan yang disuarakan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli namun Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendiran peralihan kuasa perlu berlangsung secara aman.

Dalam masa yang sama Presiden PKR itu sekali lagi berkata pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu disokong agar pengurusan negara berjalan dengan lancar.

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan Rafizi baru-baru ini bahawa tarikh persaraan akan ditetapkan kepada Mahathir sekiranya beliau enggan memenuhi perjanjian peralihan kuasa kepada Anwar pada awal tahun depan.

“Saya hargai keprihatinannya tapi saya fikir isu transisi mesti ditangani dengan baik, penting untuk pentadbiran Tun M diberikan sokongan dan begitu juga selepasnya (pentadbiran selepasnya).

“Bermakusd transisi itu mesti berlaku  secara peaceful,” katanya ketika ditemui di ISTAC hari ini.

Rafizi dalam satu persidangan di Singapura baru-baru ini dilaporkan  berkata, pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) terpaksa mengambil tindakan sedemikian kerana rakyat Malaysia sudah hilang sabar dengan isu peralihan kuasa.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyarankan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyuarakan apa juga pendirian atau pendapatnya kepada Lembaga Disiplin PKR khususnya berkenaan siasatan yang dibuat terhadapnya.

“Itu dia kena jawab dalam Lembaga Disiplin kita tak bincang dalam Biro Politik,” katanya ringkas.

Terdahulu Zuraida tidak menolak kemungkinan tindakan siasatan Lembaga Disiplin PKR terhadap ahli dan pemimpin kanan parti itu termasuk dirinya sebagai cubaan jahat untuk menyingkirkan ‘pasukan’ yang didakwa tidak sehaluan dengan Anwar.

Zuraida juga dilaporkan kecewa dengan sikap Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mendahului Lembaga Disiplin parti apabila mengeluarkan kenyataan beliau disiasat.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dr Mahathir perlu tetapkan tarikh peralihan kuasa – Rafizi