Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyatakan sokongan penuh kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membuat keputusan untuk bertanding jawatan presiden UMNO.
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

KUALA LUMPUR – Bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini membangkitkan 10 persoalan tentang pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam satu hantaran di laman Facebook yang bertajuk ‘Surat terbuka kepada Ketua Menteri, Menteri KDN dan Timbalan Menteri KDN’, Abdul Rahman yang merupakan anak kelahiran Sabah itu menzahirkan kebimbangan mengenai kesan pelaksanaan PSS biarpun ia tidak melibatkan pemberian kewarganegaraan.

Berikut adalah 10 perkara yang dibangkitkan Abdul Rahman:

1) Kad banci dan sijil burung burung bukan dokumen undang-undang. Maknanya status PATI memang haram. Mereka boleh dihantar balik ke negara mereka bila-bila masa. Kalau mereka diberikan kad PSS, status mereka sudah dihalalkan untuk tinggal di Sabah sekurang-kurangnya 3 tahun dan boleh diperbaharui sampai bila-bila.

2) PATI selalunya tinggal sembunyi-sembunyi di hujung-hujung hutan, di tepi-tepi paya bakau, di kawasan setinggan dan kawasan terlindung kerana status mereka yang tidak diiktiraf. Bila mereka diiktiraf secara sah melalui pemberian PSS, mereka akan tinggal di mana-mana saja mereka suka secara terbuka. Mereka tidak lagi takut-takut untuk bersama-sama dengan penduduk tempatan dan mereka tidak lagi takut untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

3) Pengalaman kita di Sabah telah menunjukkan bahawa bila PATI merasa selesa tinggal di Sabah, jumlah mereka akan membesar kerana yang lain akan masuk ke Sabah dengan harapan mendapat PSS.

4) Pengalaman kita juga menunjukkan bahawa apa jua dokumen yang dikeluarkan oleh pihak imigresen boleh dan akan dipalsukan. Tidak ada jaminan bahawa dokumen PSS tidak akan dipalsukan. Ciri-ciri biometrik dan cap jari tidak akan mampu membanteras pemalsuan PSS.

5) PSS bukan hanya soal kewarganegaraan sahaja walaupun rakyat Sabah memang berhak merasa risau mengenainya.

6) PSS juga adalah masalah sosial, politik dan ekonomi yang meruncing yang sudah sampai ketahap amat membimbangkan. Kegusaran dan kerisauan rakyat Sabah mengenai PSS ini jangan diremehkan. Ia mungkin akan menjadi satu gelombang besar pemberontakan secara terbuka yang sukar dibendung oleh kerajaan jika tidak ditangani dengan baik.

7) Dengan status mereka sebagai PATI sekarang pun, rakyat Sabah terpaksa berebut katil hospital dengan mereka, berkongsi sekolah, berkongsi benda bersubsidi seperti beras, air dan letrik, berebut kerusi bas awam malah berebut tempat tapak buat rumah. Ini belum lagi menyentuh soal jenayah dan perkahwinan mereka dengan orang tempatan. Semua ini akan bertambah rumit dan kritikal bila PSS diberikan kepada mereka.

8 ) Anak-anak muda Sabah terpaksa bersaing dengan pemegang PSS untuk mendapatkan pekerjaan dan berebut peluang perniagaan.

9) Pemberian PSS tidak akan menjamin PATI setia kepada Malaysia dan menghormati syarat-syarat keberadaan mereka di Sabah. Mereka sudah tentu akan setia dan terhutang budi kepada pemimpin yang memberi mereka PSS.

10) Kenapa pergerakan pemegang PSS dihadkan dalam negeri Sabah sahaja. Kenapa masalah ini tidak boleh dikongsi dengan Semenanjung? Kenapa mereka tidak boleh ke semenanjung untuk tinggal disana? Apakah ini hanya masalah Sabah atau masalah negara? Kenapa hanya Sabah yang dihukum untuk berdepan dengan beban PATI ini? Kalau minyak dan gas Sabah dikongsi dengan seluruh negara, kenapa masalah PATI tidak boleh dikongsi dengan seluruh Malaysia?