Penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Universiti Amirkabir, Tehran. foto Agensi

DUBAI  –  Presiden Donald Trump yang menyatakan beliau tidak merancang untuk melihat “perubahan rejim” di Iran bagaimanapun tetap memberi sokongan kepada para peserta demonstrasi.

“Kami mengikuti rapat protes yang anda lakukan dan kami sangat berbangga dengan keberanian anda.

“Kerajaan Iran mesti membenarkan kumpulan-kumpulan hak asasi untuk memantau dan menghantar laporan berfakta dari lapangan berhubung protes-protes yang sedang dilakukan oleh rakyat Iran,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Manakala Pejabat Kementerian Luar Britain pula pada lewat petang semalam mengesahkan, duta negara tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa Iran.

 

Donald Trump. foto Agensi

Agensi berita Tasnim yang berpangkalan di Tehran berkata, duta tersebut telah ditahan selama beberapa jam di hadapan Amir Kabir University kerana menghasut peserta demonstrasi anti-kerajaan.

“Penahanan duta kami di Iran tanpa sebarang sebab atau penjelasan adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa,” kata Setiausaha Luar, Dominic Raab dalam satu kenyataan.

Pengakuan Iran mengenai insiden “tertembak” sebuah pesawat milik Ukraine yang mengorbankan 176 mangsa telah menyebabkan kemarahan antarabangsa serta mencetuskan protes terhadap kerajaan negara itu di Tehran serta beberapa bandar lain seperti Shiraz, Esfahan, Hamedan dan Orumiyeh.

Semalam, Presiden Hassan Rouhani menyifatkan insiden berkenaan sebagai “kesilapan yang membawa bencana”.

Iran membuat pengakuan pasukan pertahanan negara itu tersilap melepaskan misil ketika dalam keadaan bersedia dengan mensasarkan Amerika Syarikat sedangkan pesawat yang ditembak adalah sebuah pesawat komersial.

Negara itu menafikan telah menembak pesawat Boeing 737-800 sejurus berlepas dari Tehran sebelum ini. – MalaysiaGazette