Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Terdapat pihak tertentu yang cuba mengagalkan usaha polis mengesan dan membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low ke tanah air bagi proses pendakwaan, kata Ketua Polis Negara (KPN).

Bagaimanapun Tan Sri Abdul Hamid Bador enggan mendedahkan individu yang enggan bekerjasama dengan polis untuk menahan ahli perniagaan yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengakui matlamatnya untuk membawa pulang Jho Low pada hujung tahun lalu tidak kesampaian, Abdul Hamid berkata, kejayaan terbaharu pasukannya kini adalah mengesan aset-aset hartanah dalam negara yang dimiliki keluarga ahli perniagaan itu.

“Bukan gagal saya tidak berbuat apa-apa atau saya gagal saya nak tunjukkan saya super hero, kononnya saya boleh buat demikian tetapi janji saya dulu saya berusaha dan usaha yang telah dilakukan telah diambil oleh saya meliputi mendapat bantuan banyak pihak dalam dan luar negara.

“Tetapi malangnya saya berdepan rintangan-rintangan yang didiirikan oleh pihak tertentu supaya dia tidak dapat dibawa balik ke sini untuk dihadapkan di mahkamah, didakwa. Pihak-pihak tertentu yang enggan memberikan kerjasam,” katanya pada sidang media hari ini.

Polis ketika ini, menurut beliau, dalam proses menyita semua aset ahli perniagaan itu yang dikatakan milik rakyat bernilai jutaan ringgit.

“Begitu juga keluarga perompak ini tadi, ayahnya sekali terlibat semua, paling terbaru sahaja untuk mengesan aset-aset milik keluarga perompak ini tadi menemui beberapa kejayaan.

“Nilainya jutaan ini wang anda, wang saya, wang kita, kita mahukannya balik setiap sen,” katanya.

Ketua Polis Negara itu juga percaya Jho Low kini menyimpan wang milik rakyat yang bernilai berbilion dolar Amerika syarikat (AS).

Dalam pada itu Abdul Hamid mencabar Jho Low untuk balik ke Malaysia dengan memberi jaminan keselamatan kepadanya yang sebelum ini sering mendakwa pihak polis akan bertindak kejam terhadap beliau.

“Jho Low rasa dia boleh pergi ke sana menyorok ke sana kononnya ditawarkan kewarganegaraan dari negara Eropah jadi saya nak sebut kepada dia silakan, kalau rasa selamat keluarlah.

“Tetapi daripada kenyatan-kenyataannya nak cuci tangan seolah tidak terlibat, kalau betul baliklah saya beri jaminan tentang keselamatan dirinya mendapatkan hak drinya dari segi undang-undang dapatkan khidmat peguamnya sila balik.

“Jangan nak perlekehkan kononnya sistem perundangan negara kita, kononnya polis kejam sebab itu tidak mahu balik,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Jho Low mendakwa ditawarkan suaka atas dasar penganiayaan di sebuah negara di Eropah.

Dalam satu temu bual bersama Straits Times Singapura, Jho Low mendedahkan negara tersebut mematuhi Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia (ECHR). – MalaysiaGazette