Yusaku Maezawa

TOKYO – Jutawan Jepun, Yusaku Maezawa sedang mencari seorang wanita untuk bersamanya melancong ke bulan.

Usahawan berusia 44 tahun itu akan menjadi penumpang awam pertama Space X mengelilingi bulan dengan menaiki roket Starship

Penghantaran pelancong ke bulan itu ditetapkan pada tahun 2023 dan ia merupakan misi pengembaraan manusia yang pertama sejak tahun 1972.

Maezawa yang baru berpisah dengan seorang aktres berkata, beliau mahu berkongsi pengalaman itu dengan wanita istimewa.

Lantaran itu, beliau mempelawa wanita-wanita untuk menetapkan pertemuan mereka.

“Saya mahu mencari ‘pasangan sepanjang hayat’. Dengan pasangan saya nanti, saya mahu meraikan cinta kami dari luar angkasa,” katanya melalui media sosial.

Beliau turut menyenaraikan kriteria dan jadual bagi proses permohonan yang mengambil masa selama tiga bulan.

Pengasas peruncit Zozo Inc., Online pakaian terkenal itu menambah, wanita berkenaan mestilah bujang, berusia lebih 20 tahun, seorang yang positif dan mempunyai minat untuk ke angkasa.

Tarikh tutup permohonan adalah 17 Januari dan keputusan akhir akan dibuat pada akhir bulan Mac.

Maezawa dipercayai memiliki kekayaan hampir AS$3 bilion dan beliau seorang peminat tegar seni.

Beliau menjadi terkenal akhir tahun lalu selepas dipilih menjadi penumpang persendirian pertama yang diterbangkan ke bulan oleh SpaceX, syarikat yang dimiliki oleh seorang lagi jutawan terkenal, Elon Musk.

Namun harga tiket yang dipersetujui dibayar oleh Maezawa tidak didedahkan tetapi Musk berkata, ia membabitkan wang yang banyak. – MalaysiaGazette