Reaksi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Kementerian Kesihatan Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 13 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah sebanyak sejuta bekalan ubat bagi merawat jangkitan Influenza, Tamilflu di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, jumlah kemasukan ubat tersebut adalah bagi kegunaan 100,000 pesakit yang terkena jangkitan itu.

Malah, beliau berkata, proses bagi mendapatkan bekalan ubat berkenaan dipercepatkan dan langkah tersebut diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan ubat yang dihadapi di fasiliti kesihatan swasta.

“Untuk sementara ini, bila keadaannya agak semua pergi ke klinik swasta. Mereka (klinik swasta) tidak ada jumlah ubat yang banyak. Berbeza dengan kami.

“Oleh sebab itu bila bekalan berkurangan berlaku keadaan yang agak cemas tapi apa pun ia sudah dapat diatasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Dzulkefly menyampaikan amanat tahun baharu di kementeriannya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hoor Hisham Abdullah serta barisan kepimpinan tertinggi dalam KKM.

Mengulas lanjut, Dzulkefly memberitahu, KKM tidak menghadapi masalah kekurangan stok ubat-ubatan bagi kegunaan merawat jangkitan influenza tidak seperti yang berlaku di klinik-klinik swasta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Dr Ramli Zainal memberitahu, pada masa ini, terdapat lima syarikat yang menjadi pembekal ubat untuk merawat jangkitan berkenaan kepada klinik swasta di seluruh negara.

Ujarnya, Ketua Pengarah Kesihatan turut telah memberi kelulusan kepada pihak swasta untuk mereka mendapatkan bekalan alternatif selain menggunakan lima syarikat yang tersenarai sebagai pembekal ubatan itu.

“Jika klinik swasta nak beli daripada pembekal syarikat lain mereka boleh buat demikian. Tetapi lima syarikat itu merupakan pembekal yang telah berdaftar kepada KKM,” ujarnya. – MalaysaiGazette