KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan tentang pendedahan sembilan rakaman audio yang beliau dedahkan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya telah menerima kesemua rakaman audio yang itu dan akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut, termasuk kesahihan rakaman tersebut, daripada ia diperolehi dan individu yang memberikannya kepada SPRM.

“Sudah terima rakaman audio, kita akan jalankan siasatan semua sudut daripada mana audio diperolehi SPRM, dari mana diperolehi lepas itu, kandungannya adakah tulen atau tidak.

“Beliau, Latheefa akan diminta memberi kenyataan ada beberapa soalan perlu dijawab,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.