Jahaberdeen Mohamed Yunoos

KUALA LUMPUR – Peguam terkenal Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos meminta agar tiada ‘serangan’ peribadi dibuat ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau yang sebelum ini menentang keras pendedahan audio perbualan Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Latheefa berkata, sebarang perbuatan mencalar reputasi sesiapa adalah satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, perbuatan tidak bermoral dan harus dielakkan.

Katanya, rakyat perlu belajar mengkritik kerajaan atau agensi di bawahnya berdasarkan hujah-hujah berteraskan isu dan bukannya peribadi.

Ini kerana, katanya, yang penting ialah niat kritikan itu bagi tujuan penambahbaikan dan menegur sesuatu yang dikira salah.

“Isu yang perlu dibincang adalah sama ada wajar mana-mana agensi penguatkuasa mendedahkan maklumat-maklumat tertentu yang diterima daripada mana-mana pemberi maklumat kepada rakyat dalam keadaan tertentu.

“Isu ini tidak harus ‘digelincirkan’ melalui percubaan untuk “menyerang” Latheefa secara peribadi.

“Saya menyeru mana-mana pihak, jika ada, untuk berhenti berbuat demikian sebaliknya memberi fokus pada isu-isu berkaitan SPRM dan kedaulatan undang-undang,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam Latheefa mendakwa berdepan dengan komplot pihak tertentu untuk menjejaskan reputasinya.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu komplot berkenaan dipercayai didalangi beberapa individu termasuk seorang peguam.

Artikel berkaitan: Rakaman audio: Latheefa dakwa peguam jadi dalang calar reputasi

“Kini saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan pada 8 Jan tersebut, satu komplot jenayah telah dimulakan untuk mengada-adakan (fabricate) dan mengedar material bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi saya.

“Kami percaya seorang peguam antara lain yang terlibat menjadi dalang di sebalik komplot ini,” katanya.

Pada 8 Jan lalu SPRM mendedahkan sembilan klip audio yang mengejutkan ramai apabila perbualannya menyentuh mengenai siasatan kes 1MDB yang berkait secara langsung dengan Najib.

Artikel berkaitan: SPRM dedah siri rakaman perbualan Najib dan beberapa individu termasuk dari UAE

Antara individu berprofil tinggi yang dikaitkan dengan perbualan itu ialah isteri Najib, Rosmah Mansor; pegawai Jabatan Peguam Negara yang kemudian dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, dan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pendedahan SPRM itu dibahaskan secara meluas oleh para pengamal undang-undang, penganalisis politik dan juga ahli akademik. – Malaysia Gazette