KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai agar tidak memasang atau menggantung perhiasan perayaan Tahun Baru Cina di kabel dan pepasangannya bagi mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik.

Perbuatan menggantung bahan perhiasan di kabel dan pepasangan elektrik boleh mengundang bahaya kerana individu yang terbabit berisiko terkena renjatan elektrik, kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

“Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan api berlaku. Aktiviti berbahaya ini turut menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu mengganggu pepasangan elektrik.”

Katanya, TNB akan membuat pemantauan, selain menjalankan operasi menanggalkan bahan hiasan yang diletakkan di pepasangan elektrik jika didapati memberi risiko tinggi kepada orang awam.

Orang ramai yang melihat sebarang keadaan boleh mengancam keselamatan atau menjejaskan bekalan elektrik, diminta merujuk Facebook TNB Careline atau terus menghubungi TNB Careline di talian 15454 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil segera,” katanya.

Dalam pada itu, Roslan juga mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun serta bunga api berhampiran pepasangan TNB atau membebankan soket dengan penggunaan wayar penyambung (extension) secara berlebihan.

Orang ramai juga diminta tidak membuat penyambungan sendiri tanpa mendapatkan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau bende2 bulat tergantung tu jatuh atas kepala budak2 ke, mak budak2 ke, atok budak ke boleh MATI dibuatnya? terkena renjatan!

    SAFETY FIRST!

Comments are closed.