KUALA LUMPUR – Jualan kenderaan Malaysia dijangka meningkat sebanyak satu peratus tahun ini kepada 608,790 unit, menurut firma perunding Frost & Sullivan.

Ia menjangkakan pertumbuhan positif berterusan untuk negara pada 2020 yang akan memacu keyakinan pengguna sepanjang tahun.

“Bagaimanapun, prospek industri automotif Malaysia mungkin dipengaruhi oleh ketidakpastian global seperti konflik Amerika Syarikat-Iran yang akan memberi kesan kepada keputusan pelaburan jangka panjang.

“Faktor utama dalam membantu pertumbuhan pasaran automotif Malaysia pada 2020 termasuk keyakinan pengguna yang meningkat dan kukuh serta pelancaran model baharu,” kata Rakan Kongsi Bersekutu dan Naib Presiden Kanan Mobiliti, Vivek Vaidya.

“Bagaimanapun, faktor-faktor seperti cabaran luaran global yang sedang berlaku dan penangguhan Dasar Automotif Negara (NAP) berulang kali telah mewujudkan ketidakpastian, kedua-duanya perlu diatasi oleh sentimen pengguna positif untuk mengekalkan pertumbuhan menggalakkan,” kata Vaidya.

Menurutnya, faktor tempatan dijangka dapat meningkatkan jualan termasuk keyakinan pelanggan yang meningkat dibantu oleh suasana politik stabil dan peningkatan dalam pelaburan infrastruktur.

“Industri ini mengharapkan NAP memberikan hala tuju yang jelas untuk melakukan transformasi dalam dekad baharu. Terdapat keperluan mendesak bagi memajukan industri automotif Malaysia dan menawarkan produk dan perkhidmatan menarik sejajar dengan trend global. Para pemain industri bergantung pada NAP 2020 bagi membimbing dan mengubah diri mereka dengan lancar, “katanya.

Mengimbas kembali, beliau berkata permintaan kenderaan mencatatkan pertumbuhan satu peratus pada 2019 berikutan prestasi kukuh pelancaran model baharu dalam segmen SUV, terutamanya Proton X70.

Secara keseluruhan, jualan kekal berhati-hati sepanjang tahun tetapi menyaksikan kenaikan dalam jualan kenderaan kerana promosi akhir tahun,” katanya. – Bernama