Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bersama Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas keputusan mengetepikan kebenaran memulakan prosiding komital terhadapnya yang diperoleh Peguam Negara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Permohonan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam untuk mengetepikan kebenaran mengugut seorang saksi dalam kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak Mahkamah Tinggi hari ini.

Sebaliknya, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah telah membenarkan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman.

Collin membuat keputusan untuk menolak permohonan Lokman selepas mendengar hujah peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Ketika membacakan keputusan beliau, kata Collin, mahkamah berpendapat bahawa surat tunjuk sebab boleh dikeluarkan oleh pihak lain selain mahkamah.

“Mahkamah juga merasakan kenyataan yang dibuat oleh Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden,” ujarnya.

Lokman didakwa telah mengugut Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang juga merupakan saksi kes 1MDB yang sedang berjalan ketika ini.

Amhari juga merupakan bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak juga merupakan seorang daripada saksi penting dalam kes berkenaan.

Pada 22 Oktober lalu, Collin memberi kebenaran kepada Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman.

Pada 10 Oktober lalu, Peguam Negara selaku pemohon telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana perbuatannya yang menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September.

Peguam Negara memohon perintah supaya Lokman selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Jelas Tommy dalam hujahnya, pada 25 September lalu, responden dalam temu bual video mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dia mengaku & jelas sekali duit berjuta juta diperolehi semasa masih sebagai kakitangan awam….x salah ke ni??? xyah siasat ke??? atau tengok dulu kau geng mana….pening undang2 dunia ni???

Comments are closed.