Lim Guan Eng

PUTRAJAYA – Kerajaan pusat di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) lebih banyak memberikan bantuan kepada negeri-negeri yang ditadbir pembangkang berbanding pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, rakyat harus melihat jumlah dana yang diperuntukkan oleh kerajaan yang diterajui PH kepada negeri-negeri pembangkang yang jumlahnya lebih tinggi berbanding ketika BN mentadbir.

“Lihatlah apa yang dilakukan oleh kerajaan (PH). Sebenarnya kerajaan telah memberi perhatian lebih kepada negeri-negeri ini daripada kerajaan sebelumnya (BN).

“Dana yang diberikan lebih daripada kerajaan sebelumnya,” katanya kepada media selepas mengumumkan program “e-Tunai Rakyat” di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha DAP diminta memberikan respon terhadap kenyataan Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu memujuknya menjadi menteri supaya berusaha melakukan pembangunan untuk membantu negeri-negeri seperti Kelantan.

Menurut Zaid seperti dilapor Malaysiakini, adalah menjadi satu cabaran untuk meyakinkan para menteri persekutuan untuk berusaha sedaya upaya bagi membantu negeri itu.

Dengan memberikan contoh tabiat sejarah yang perlu diubah iaitu apabila pada tahun 1990, kerajaan persekutuan telah hilang pegangan mereka ke atas Kelantan dan sejak itu negeri itu terus berada di bawah pentadbiran Pas.

Perkara itu berlaku kerana dasar cetek pemimpin-pemimpin persekutuan terdahulu yang ‘menghukum rakyat’ kerana mengundi Pas.

Pada tahun lepas, kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM13.05 bilion kepada enam negeri paling kurang maju di negara ini iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette