KUALA LUMPUR – Saksi ke-7 perbicaraan pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad mendedahkan pindaan terpaksa dilakukan demi kepentingan negara ketika itu.

Kata Saadatul yang juga merupakan bekas pegawai Jabatan Audit Negara (JAN), tindakan untuk meminda laporan pengauditan itu hanya diputuskan selepas mesyuarat khas penyelarasan pada 24 Februari 2016.

Beliau berkata ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram bahawa dirinya diberitahu pindaan terpaksa dilakukan bagi memastikan kelangsungan negara berjalan dengan lancar.

Gopal Sri mengemukakan soalan sejurus selepas memainkan semula rakaman audio berdurasiu dua jam 46 minit yang dirakam secara rahsia oleh seorang pegawai.

Pada mesyuarat penyelarasan yang diadakan itu didakwa terdapat beberapa keputusan untuk menggugur serta meminda isu kontroversi, termasuk yang berkait dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jow atau Jho Low.

Gopal Sri Ram: Pada pandangan anda, siapakah yang mendapat faedah dengan pindaan ini? Kamu (berada) dalam mesyuarat itu selama hampir tiga jam.

Saadatul: Saya tidak dapat jawab dengan tepat. Pada saya ketika itu, terdapat keperluan tertentu seperti kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa, ianya untuk kebaikan kelangsungan negara.

Mungkin beberapa maklumat dalam laporan audit itu akan menjejaskan negara serta pasaran saham ketika itu terutamanya apabila menyentuh beberapa isu sensitif dalam laporan tersebut.

Tugas dan tanggungjawab JAN adalah memberikan laporan yang tepat pada waktu itu dan itu yang telah kami lakukan.

Gopal Sri Ram: Sekiranya mesyuarat penyelarasan yang hadir itu tidak diadakan maka tidak adalah bukti laporan yang telah dipinda ini?

Saadatul: Tidak akan ada.

Gopal Sri Ram: Cuba kamu lihat perenggan 95 dalam transkrip rakaman audio ini, Ali Hamsa ada menyebut ‘we want to take of our leadership’, apakah yang anda faham dengan perkataan itu?

Saadatul: Perdana Menteri kita.

Gopal Sri Ram: Siapa yang berada dalam Lembaga Penasihat 1MDB ketika itu?

Saadatul ketika itu kelihatan seperti teragak-agak untuk menjawab kemudian berkata Menteri Kewangan.

Gopal Sri Ram: Yang juga merupakan Perdana Menteri?

Saadatul: Ya, yang juga Perdana Menteri.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan dan akan bersambung esok jam 2.30 petang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Zaini Mazlan.

Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ia bertujuan untuk mengelak sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016 – – MalaysiaGazette