pengajar yang diibaratkan sebagai
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang wanita yang bekerja sebagai operator kilang dan teman lelakinya dalam siasatan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang disyaki didera.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Mohd Taib Ahmad berkata wanita berusia 22 tahun itu yang merupakan ibu mangsa dan teman lelakinya, 33, ditahan pada 3.45 petang Selasa.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada 12.10 tengah hari di Hospital Sultan Ismail (HSI) semalam. Pada Ahad, ibu mangsa membawa kanak-kanak berkenaan untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami jangkitan kuman, katanya dalam kenyataan malam tadi.

Taib berkata kematian kanak-kanak itu disyaki mempunyai unsur penderaan berdasarkan beberapa siri kecederaan yang dialami mangsa.

“Hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan-kesan lebam di bahagian tangan kiri dan kanan serta bahagian perut.

“Selain itu terdapat juga kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mangsa,” katanya lagi.

Beliau berkata, hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak berkenaan mendapati punca kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan pada bahagian tengkorak dan usus mangsa akibat hentakan objek tumpul.

Taib berkata berdasarkan laporan bedah siasat, pihaknya percaya kematian mangsa berunsurkan jenayah.

Hasil siasatan mendapati ibu mangsa dan teman lelaki yang tidak bekerja itu menyewa bersama di sebuah bilik pangsapuri dekat Kempas sejak setahun lepas.

“Mangsa juga didapati dijaga oleh lelaki berkenaan apabila ibunya bekerja,” katanya.

Taib berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — BERNAMA