Ketua Polis Negara, Tan Sri Ahmad Hamid Bador. foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Polis menasihati lebih 6,900 pemegang lesen senjata api berhenti menjadikan aktiviti memburu sebagai hobi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, bagi menangani perkara itu, pihaknya dalam proses membatalkan lesen secara berperingkat mengelak berlakunya pemburuan haram.

“Saya bersama bahagian pelesenan senjata api akan melakukan semakan dan memantau kawasan tumpuan memburu sebelum kami tarik semula lesen secara berperingkat,” katanya selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Pusat Latihan Polis hari ini.

Abdul Hamid berkata, pemburuan bukan lagi satu keperluan buat masa ini kerana manusia mempunyai makanan mencukupi.

“Nak buru apa? Nak buru rusa, kijang? Tak perlu lagilah. Cukuplah, kita banyak makanan. Kalau tak ada, dalam tin pun ada. Ayam, daging lembu, daging kambing ada,” katanya.

Abdul Hamid juga menyarankan pemilik senjata api mengelak daripada menggunakan senjata api untuk menghalau haiwan yang merosakkan tanaman mereka.

Beliau berkata, OBK yang dilancarkan suku ketiga pada tahun lalu memberi impak positif kepada pemuliharaan flora dan fauna dengan jumlah rampasan dianggarkan kira-kira RM2.8 juta dan 102 suspek ditahan atas pelbagai kesalahan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast