Pegawai komunikasi & pemasaran Prasarana, Siti Nor Fadhila Muhtaza memegang poster pertandingan swafoto My100 & My50 yang bermula hari ini hingga 15 Mac 2020

KUALA LUMPUR – Pengguna pas perjalanan My100 dan My50 berpeluang memenangi pas perjalanan percuma bagi perkhidmatan Rapid KL selama setahun menerusi pertandingan swafoto yang bermula hari ini.

Prasarana Malaysia Bhd. dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pengguna boleh menghantar seberapa banyak penyertaan bermula hari ini sehingga 15 Mac 2020. Terbuka kepada semua pengguna Rapid KL yang melanggan pas perjalanan My100 atau My50.

Peserta perlu memuat naik gambar swafoto mereka sendiri dengan berlatar belakangkan aset Rapid KL seperti LRT, MRT, BRT, Monorel atau bas Rapid KL menerusi akaun Facebook, Twitter atau Instagram Rapid KL

Peserta perlu ‘follow’ dan ‘like’ akaun Facebook Rapid KL, Instagram atau Twitter.

Mereka juga perlu menamakan lima stesen LRT, MRT, BRT atau monorel yang popular di dalam ruangan komen.

“Pertandingan ini dianjurkan bagi menghargai sokongan pengguna pas perjalanan My100 dan My50 serta sebagai tanda terima kasih daripada Rapid KL untuk pengguna setia,” katanya.

Tiga puluh pemenang akan dipilih dan pengumuman akan dibuat pada 25 Mac 2020 menerusi saluran media sosial Rapid KL.

Pemenang akan menerima hadiah berupa perjalanan percuma perkhidmatan Rapid KL selama setahun dan juga berpeluang menenangi iPhone11 Pro Max dan Apple Watch Series 5 sebagai hadiah utama. Hadiah lain untuk dimenangi termasuk iPad Air dan iPad Mini. – MalaysiaGazette