KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 1.6 peratus pada November 2019 kepada 53,019 tan metrik berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Perbandingan bulan ke bulan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 9.3 peratus daripada 48,528 tan metrik yang direkodkan pada Oktober 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 47,888 tan metrik, menurun sebanyak 6.2 peratus berbanding 50,600 tan metrik pada Oktober 2019.

Destinasi utama eksport getah asli adalah China iaitu 46.7 peratus daripada jumlah eksport pada November 2019 diikuti Jerman (9.5%), Finland (4.2%), Amerika Syarikat (3.3%) dan Brazil (2.8%).

Stok getah asli yang direkodkan pada November 2019 ialah 216,414 tan metrik berbanding 189,085 tan metrik pada Oktober 2019 dengan peningkatan 14.5 peratus.

Harga purata Lateks Pekat ialah 440.55 sen sekilogram pada November 2019, meningkat 3.5 peratus berbanding Oktober 2019.

Pada masa yang sama, harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus kepada 566.12 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 40,631 tan metrik, menurun sebanyak 3.2 peratus berbanding 41,989 tan metrik yang dicatatkan pada Oktober 2019, katanya.

Pembuatan sarung tangan getah mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 30,425 tan metrik atau 74.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette