KUALA LUMPUR – Hanya sebuah sekolah di Perak dan dua buah kelas di sebuah sekolah di Pulau Pinang yang ditutup setakat semalam berikutan penularan wabak influenza.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak yang ditutup mulai 11 hingga 19 Jan dan dua buah kelas di SJKC Li Hwa, Pulau Pinang (ditutup mulai 7 hingga 19 Jan).

“Keputusan ini dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Selain itu KPM turut menerima peningkatan laporan kes wabak influenza daripada beberapa sekolah di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan statistik rasmi tentang jumlah murid yang menghidap influenza hanya boleh disahkan dan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kenyataan itu turut menjelaskan KPM sentiasa memantau dan memastikan tahap kesihatan di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah berada di tahap terkawal dan kementerian mempunyai mekanisme pemantauan di semua institusi pendidikan bagi membolehkannya mendapat maklumat tepat sepanjang masa, berkait kes ini.

Pada masa yang sama, kementerian menjelaskan, guru-guru di sekolah sentiasa memantau keadaan kesihatan murid-murid bagi mengawal penularan wabak itu dan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, mangsa akan diasingkan sebelum guru menghubungi ibu bapa atau penjaga untuk membawa pulang murid mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

“Pengetua dan guru besar akan sentiasa mewujudkan kesedaran akan penyakit ini kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna.

“Murid-murid juga sentiasa diingatkan supaya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan amalan kerap membasuh tangan menggunakan air bersih serta sabun atau pencuci tangan selain mengamalkan adab batuk yang baik,” jelas kenyataan itu lagi.

Ibu bapa juga dinasihati tidak menghantar anak mereka yang mempunyai gejala influenza ke sekolah atau membawa tempat awam dan jika perlu berbuat demikian perlulah memakai penutup mulut dan hidung.- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.