Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jangkitan influenza yang dilaporkan di Malaysia sekarang ini tiada kaitan dengan kejadian novel coronavirus di Wuhan, China dan situasi influenza adalah terkawal.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya kan terus memantau situasi penyakit radang paru-paru ini dan sebarang perkembangan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dimaklumkan dari semasa ke semasa.

KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan meskipun tiada kes novel coronavirus dilaporkan di negara ini.

Pada 31 Disember lalu, pihak berkuasa China telah melaporkan mengenai satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) yang tidak diketahui punca jangkitannya, melibatkan masyarakat setempat di Wuhan, China.

Kemudian pada 12 Januari 2020, WHO telah mengesahkan wabak yang berlaku di Wuhan disebabkan oleh jangkitan coronavirus baharu (novel coronavirus).

Novel coronavirus, virus baharu yang sebelum ini tidak pernah dikenalpasti atau dikesan pada manusia dan cara jangkitan serta penularannya masih dalam siasatan.

Sehingga kini, sebanyak 41 kes radang paru-paru (pneumonia) yang dilaporkan di Wuhan positif novel coronavirus dan satu kematian dilaporkan dengan tujuh kes berada dalam keadaan yang kritikal, dan kes-kes lain adalah stabil.

Pada 13 Januari lalu, Thailand telah melaporkan kes import pertama novel coronavirus ini daripada seorang wanita yang berasal dari Wuhan dan pesakit berada dalam keadaan stabil.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun tiada kes direkodkan, langkah-langkah kesiapsiagaan yang telah dan terus dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini.

Menurutnya, kakitangan KKM di semua peringkat termasuk Pintu Masuk Antarabangsa Negara dimaklumkan berkaitan kejadian kluster ini dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan. – MalaysiaGazette