Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (kanan) serta yang lain melakukan gimik Pelancaran Peluasan Pendaftaran Kematian dan Permit Mengubur pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baru 2020 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan Majlis Konsultatif Keselamatan dan Ketenteraman Awam (MKKKA) sebagai usaha menambah baik pengurusan berhubung isu-isu  keselamatan negara.

MKKKA adalah saluran untuk pihak berkepentingan menyampaikan ketidakpuasan hati mengenai penguatkuasaan dan Standard Operasi Prosedur (SOP) yang digunakan KDN dan jabatan di bawahnya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara tidak langsung MKKKA berperanan merapatkan lagi hubungan kerajaan dengan masyarakat.

Majlis yang akan dianggotai pegawai tertinggi kementerian itu, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil komuniti untuk memudahkan proses penyaluran maklumat dan cadangan.

“Untuk kita dapatkan maklum balas dan pandangan, cadangan terus daripada kalangan pimpinan dalam masyarakat tentang  apa yang sedang kita laksanakan, penambahbaikan dan pindaan undang-undang yang sesuai.

“Pada masa lepas tidak wujud badan seperti ini tapi kita hubungi secara ad-hock,” katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Menurutnya, KDN dalam proses mengenal pasti anggota yang bakal menjadi wakil MKKKA, terdiri dalam kalangan pakar dan tokoh yang akan dilantik sebelum mesyuarat pertama yang dijangka diadakan pada suku awal tahun ini.

“Kita sudah sediakan panduan penubuhannya, yang penting bilangan keanggotaan sudah saya putuskan, kita kenal pasti mereka yang pakar, mahir soal keselamatan. Cuma wakil komuniti ini ambil masa sikit sebab mahu kenal pasti mereka.

“Bila sudah sedia jadi ahli, terma rujukan diperincikan, saya harap suku awal tahun ini kita selesai dan tetapkan tarikh bermesyuarat yang akan saya pengerusikan,” kata beliau lagi.

Beliau mengakui negara kini berhadapan dengan isu keselamatan dan ketenteraman yang semakin mencabar terutama berkaitan jenayah siber dan rentas sempadan, maka adalah mustahak untuk mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah daripada pihak tempatan dan antarabangsa.

“Ini kerana, skop  tugas KDN ini sangat luas tentang isu keselamatan dan ketenteraman. Jadi penting untuk kita tingkatkan bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa supaya Malaysia sentiasa selamat daripada sebarang bentuk ancaman,”kata beliau lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, KDN akan membangunkan Pelan Komunikasi Strategik kementerian tersebut agar semua pihak faham tentang pelaksanaan dan inisiatif yang dilakukan.

Selain itu beliau memberi jaminan bahawa KDN akan terus mengekang dan membanteras aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan melalui The New Non Profit Organization (NPO) Financial Environment Management di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Inisiatif ini akan mengenal pasti pertubuhan-pertubuhan berdaftar yang disalahgunakan untuk tujuan pengubahan wang haram dan membiayai aktiviti keganasan. – MalaysiaGazette