KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menempelak kenyataan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menggelar sayap PKR itu sebagai gangster.

Menurut exconya, Shariful Azmir Mustafa, Khairuddin digesa menjalani rawatan mental kerana sering membuat kenyataan tidak masuk akal malah tidak munasabah.

“Sejak beberapa bulan ini Khairuddin dilihat seperti orang sakit (mental) kerana dilihat sering meroyan dengan kata-kata kesat dan biadab terutama kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya faham beliau ‘stress’ kerana setelah gagal mendapatkan tempat di Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), beliau terpaksa menyertai (parti) Amanah untuk menjadi calon pilihanraya namun akhirnya tewas.

“Saya juga ingin menasihati beliau agar menjalani rawatan untuk mengawal kemarahan serta membuat pemeriksaan kesihatan mental kerana saya amat khuatir akan keadaan beliau kebelakangan ini yang dilihat seperti kehilangan hala tuju,” bidas Shariful Azmir.

Khairuddin semalam menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak tunduk dengan cara ‘penyangak’ dalam mempersoalkan mengenai peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan Anwar Ibrahim.

Beliau turut berkata telah menasihati Dr Mahathir agar jangan tunduk pada tekanan daripada kalangan penyokong Anwar.

“Siapa mereka hendak tunjuk samseng!!

“Ini bukan soal politik tetapi ini pegangan ajaran agama islam yang berteraskan kepada al- quran serta as-sunnah!! Tolong jangan sesiapapun mempersendakan ajaran agama islam!!,” katanya di Facebook semalam.

Dalam pada itu, Shariful Azmir menggesa agar Penyelaras Parlimen Jasin itu tidak campur tangan dalam urusan peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar.

“Beliau perlu ingat kemenangan ini adalah kemenangan rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk mengotakan janji termasuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 seperti yang termaktub dalam Perjanjian Muafakat Pakatan Harapan yang ditandatangani pemimpin keempat-empat parti,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Keluar aje sama ada PB atau PKR, kita sama berjuang demi Islam, Negara dan Bangsa. Apa yang sokong semuanya adalah mainan DAP untuk mencapai matlamat hancurkan melayu. Jangan jadi buta. Menyesal tidak berguna.

Comments are closed.