Md Silmi Abd Rahman

KUALA LUMPUR – Md Silmi Abd Rahman dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 Disember 2019.

Beliau merupakan seorang pakar pembangunan industri dan perdagangan di dalam dan luar negara dengan lebih daripada 30 tahun pengalaman, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Md Silmi juga mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang menerokai peluang-peluang baharu dalam industri berteknologi tinggi dan juga dalam pembangunan keusahawanan Bumiputera.

Beliau juga merupakan antara pasukan perintis bagi penubuhan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia – MATRADE (1993-2017) dan pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1989-1993) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (1983-1989). – MalaysiaGazette