Deretan pesawat Air Asia di klia2, Sepang. foto MALAYSIA GAZETTE

KUALA LUMPUR – MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas AirAsia Group Bhd (AAGB) selari prospek positifnya kerana dijangkakan memperoleh manfaat pasaran dari segi kapasiti berikutan penggantungan penghantaran 25 pesawat Boeing 737 MAX kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan harga sasaran pada RM2.04 sesaham.

Boeing 737 MAX ialah jet berangka kecil dengan kapasiti 160 hingga 220 penumpang.

Cabang AAGB Malaysia, Malaysia AirAsia (MAA) pula menjangkakan penghantaran tiga A321 Neos baharu, masing-masing dengan 236 tempat duduk, serta sebuah pesawat neon A320 yang menyediakan 186 tempat duduk, pada 2020.

“Oleh itu, kami percaya pelan kumpulan pesawat AAGB untuk Malaysia dijangkakan menguasai sebahagian daripada pasaran MAB, sekali gus meningkatkan penguasaannya kepada 60 peratus.

“Selain itu, ini selari dengan peningkatan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” kata firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

Selaras dengan jangkaan AAGB menguasai lebih banyak penguasaan pasaran MAB, MIDF Research percaya syarikat penerbangan itu akan menerima impak positif dalam jumlah trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Kami percaya AAGB akan terus menarik lebih banyak penumpang ke klia2 pada 2020,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berpendapat bahawa pertumbuhan penumpang di Malaysia kekal kukuh walaupun levi berlepas dikuatkuasakan bermula September 2019, memandangkan levi yang diwartakan itu lebih rendah daripada rakan serantaumnya seperti Thailand dan Hong Kong.

Bagi syarikat penerbangan tambang rendah seperti AAGB, peratusan levi berlepas daripada harga tiket secara menyeluruh masih rendah kira-kira 1.6 peratus pada purata tambang biasa, katanya.

Pada 10.36 pagi, saham AirAsia tidak berubah pada RM1.66, dengan 428,700 saham bertukar tangan. – MalaysiaGazette