Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersempena sambutan Ulangtahun Ke-70 TNB di Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan penjualan konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad, sebaliknya kekal menjadi milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dengan keputusan itu juga, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kadar tol akan diturunkan sebanyak 18 peratus tanpa mengulas lanjut perincian pelaksanaan pengurangan itu.

Katanya, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat Kabinet semalam selepas kerajaan meneliti semua bidaan dikemukakan pihak swasta dan Khazanah.

“Kita sudah mengkaji semua bidaan yang dibuat oleh sektor swasta dan pada akhirnya kita putuskan cara yang terbaik adalah untuk tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak, sebaliknya terus kekal dengan Khazanah dan KWSP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur, Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, penurunan 18 peratus yang ditetapkan pada kadar hari ini bermakna dalam masa 30 tahun, kadar tol akan sangat rendah.

Khazanah memiliki kepentingan 51 peratus dalam PLUS manakala KWSP memegang baki 49 peratus.

Dr Mahathir berkata pengurangan 18 peratus akan bermula pada tahun ini tetapi tidak memberikan butiran.

Katanya, jumlah trafik pada tahun-tahun akan datang boleh meningkat tetapi ini tidak mungkin berlaku untuk kuasa beli ringgit.

Keadaan itu, katanya, bermaksud bahawa “apa yang mereka (pemegang konsesi) mendapat selepas itu tidak sebesar orang anggap mereka akan buat “.

“Kerana kita menetapkannya pada kadar sekarang, dan ia akan menjadi kadar rata, tolak 18 peratus. Ini bermakna walaupun trafik mungkin tumbuh, pendapatan tidak akan sebesar konsesi asal, “katanya.

Artikel berkaitan: Kerajaan tidak boleh jual PLUS tanpa persetujuan

Siapa menang bidaan PLUS?

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, sebarang bidaan terhadap saham pegangan Khazanah dalam PLUS akan dikaji kerajaan sekiranya bersesuaian dengan kehendak mereka.

Jelasnya, kerajaan boleh menjual pegangan saham dimiliki Khazanah dengan syarat pelaburan semula duit itu dapat dikenal pasti.

Maju Holdings antara syarikat yang menawarkan kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar tol sehingga 36 peratus jika cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia diluluskan.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu turut komited untuk melabur kira-kira RM5.3 bilion yang termasuk memasang lampu di sepanjang lebuh raya bersama-sama dengan penambahbaikan lain yang diperlukan.

Maju Holdings Sdn Bhd turut mencadangkan untuk menyerap RM2.7 bilion bagi pampasan tol yang perlu dibayar kerajaan kepada PLUS Malaysia Bhd sekiranya pengambilalihan konsesi lebuh raya terbesar negara itu oleh syarikat berkenaan berjalan lancar.

Turut membuat tawaran adalah Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) yang mencadangkan kepada kerajaan untuk membeli konsesi PLUS dengan mengambil alih 51 peratus kepentingan yang dimiliki oleh Khazanah Malaysia Bhd (Khazanah) pada nilai pertimbangan tunai RM1.5 bilion atau mengambil alih 100 peratus konsesi yang dimiliki oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai RM3 bilion.

Dua lagi syarikat yang berminat adalah RRJ Capital dan tokoh perniagaan Tan Sri Halim Saad menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd.- MalaysiaGazette