Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan foto FAREEZ FADZIL,

KUALA LUMPUR – Sekiranya betul-betul mementingkan urus tadbir yang baik kerajaan tidak boleh menjual PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) sebelum mendapat persetujuan daripada para pemegang sahamnya, Khazanah Nasional Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, kerajaan memang mempunyai kepentingan dalam PLUS menerusi sayap pelaburan negara itu tetapi KWSP tidak ada kena-mengena dengan kerajaan kerana ia dimiliki oleh pencarum dana persaraan tersebut.

“Dilihat dari sudut urus tadbir, sebarang keputusan mengenai penjualan (aset) perlu dilakukan dengan saluran yang betul iaitu melalui pemilik semasa PLUS.

“Pemilik PLUS sekarang adalah Khazanah dan KWSP yang mana proses tersebut (proses mengumumkan aset akan dijual serta proses bidaan) masih belum bermula.

“Kerajaan perlu berhati-hati kerana pemilik PLUS adalah dua entiti yang berasingan jadi sekiranya terdapat sebarang hasrat untuk menjual aset berkenaan, ianya perlu dicetuskan oleh pemilik semasa.

“Penjualan itu juga perlu melalui proses yang betul yang mana Perdana Menteri sendiri baru sahaja bercakap mengenai amalan urus tadbir yang baik di persidangan ini tadi.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh kerajaan melalui Kabinet adalah membuat keputusan mengenai dasar terlebih dahulu, apa yang mereka mahu lakukan kepada konsesi-konsesi lebuh raya dahulu sebelum kita boleh memikirkan proses sebenar untuk melaksanakan dasar berkenaan.

Ini perkara yang lebih penting buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panelis dalam Persidangan Integriti Bank Rakyat di sini hari ini.

Kerajaan melalui Khazanah memegang 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala baki 49 peratus lagi dipegang oleh KWSP.

Shahril Ridza sekali lagi mengulangi pendirian pemilik PLUS yang tidak berhasrat untuk menjual aset tersebut.

“Kami tidak pernah mengumumkan untuk menjual aset berkenaan, tiada proses bidaan.

“Apa yang ada hanyalah tawaran tidak dijemput daripada pihak yang berminat, itu pun diserahkan kepada kerajaan dan bukannya kepada kami.

“Ini kerana kami tidak pernah melayan tawaran untuk membeli PLUS.

“Kami merasakan tawaran-tawaran tersebut tidak mempunyai nilai setara dengan aset tersebut,” tegasnya sambil mengumumkan penilaian sah yang dibuat oleh bank-bank bebas terhadap nilai PLUS menunjukkan kerajaan sependapat dengan Khazanah dan KWSP sekarang.

Tambah Shahril Ridza, apa yang paling penting dalam setiap kertas cadangan adalah setiap penstrukturan semula konsesi lebuh raya mestilah melindungi pemegang saham sedia ada.

Ini kerana sekiranya Khazanah dan KWSP kehilangan nilai tersebut ia akan memberi impak besar kepada kerajaan dan pencarum KWSP, jelasnya.

Esok kerajaan dijangka membincangkan cadangan pengambilan alih PLUS dan empat lebuh raya milik Gamuda Bhd. di Lembah Klang dan pengumuman akan dibuat selepas mesyuarat berkenaan. – MalaysiaGazette