Nik Mohamad Amar Abdullah

KUALA KUBU BAHARU – Parti komponen Perikatan Nasional (PN), Pas mengakui gabungan itu berpotensi kalah sekiranya peratusan turun mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu rendah.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kenyataan itu dibuat beliau berdasarkan ramalan yang dilakukan parti sepanjang tempoh berkempen.

“Kalau (peratusan keluar mengundi) kurang, itu ada masalah bagi peluang kita (PN untuk menang pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu) tetapi kalau (peratusan) keluar (mengundi) sehingga 80 peratus, peluang kita besar (untuk menang).

“Namun, menang pun tidaklah (dengan majoriti undi) besar sebab PRK biasanya pengundi tak ramai keluar mengundi. Cuma kita harap supaya (pengundi) keluar sehingga 80 peratus,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui MalaysiaGazette dalam siri kempen saat-saat akhir di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Mohd Amar turut ditanya laporan badan penyelidik Ilham Centre yang meramalkan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu esok.

Beliau bagaimanapun tidak menolak dapatan yang mendakwa Pas kurang agresif sepanjang tempoh kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Berikutan itu, Yang di-Pertua Dewan Negeri (DUN) Kelantan itu berkata, Pas telah mengubah strategi kempen kepada jelajah mesra bertemu pengundi dari rumah ke rumah, berbanding menganjurkan siri ceramah dengan kerap.

“Kita berpandangan, bertemu pengundi secara bersemuka lebih berkesan dan boleh menyelesaikan banyak isu, berbanding berceramah. Tambahan, ceramah ini masanya terhad dan tak tahu apa sebenarnya yang difikirkan pengundi.

“Bila kita pergi dari rumah ke rumah, kita boleh tahu, dapat maklum balas apa isunya dan perkara perlu diperjelaskan,” katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat kanser.

PRK KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, PN, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao bagi mempertahankan kerusi itu, dicabar pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.

PRM pula diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket bebas. – MalaysiaGazette