Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang telah mengenal pasti kawasan berpotensi untuk dijadikan Projek Perintis Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) seluas 220 hektar di Sungai Wang, Mukim Hulu Jelai, Lipis.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kelulusan cadangan tersebut diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Ke-13 pada 3 April lalu.

”Kerajaan negeri dalam peringkat pemurnian fasa akhir Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE Pahang yang diterajui oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang (PTG) dan Pahang Mining Corporation (PMC) sebelum diangkat untuk pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa negeri.

”Kerajaan negeri mengamalkan sikap terbuka kepada mana-mana pengusaha pelabur sektor perlombongan untuk menjalankan eksplorasi NR-REE di Pahang.

“Kita juga bersedia untuk menawarkan kerjasama bagi pembukaan kilang memproses NR-REE di Malaysia khususnya di negeri Pahang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Hulu Cheka) pada Sidang Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang hari ini.

Menurut Wan Rosdy, delegasi kerajaan negeri pada 25 September 2023 lalu telah mengadakan lawatan kerja ke tapak NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Negeri Perak.

Lawatan tersebut bertujuan untuk melihat serta mempelajari teknik perlombongan NR-REE yang dilakukan tanpa menjejaskan alam sekitar.

Sementara itu, Wan Rosdy turut memaklumkan sekurang-kurangnya 1.4 juta tan unsur nadir bumi atau pun Rare Earth Element (REE) yang telah dikenal pasti di Lipis, Raub dan Bentong. – MalaysiaGazette