Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Pemimpin dan anggota UMNO harus bersih daripada sebarang perbuatan sakau harta bagi memastikan parti keramat itu kekal relevan dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, UMNO perlu berani membersihkan parti keramat itu daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa sebagai satu semangat baharu sempena Menyambut Ulang Tahun UMNO yang ke-78 pada Sabtu ini.

“Dalam usia yang semakin lama ini UMNO masih kuat dan berdiri megah sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu.

“Bagaimanapun untuk kekal relevan pemimpin UMNO harus pastikan parti daripada bebas daripada mereka yang suka sakau harta, ini kerana tidak dapat dinafikan setelah UMNO menjadi kaya-raya terdapat segelintir pemimpin mengaut kesenangan hidup dengan menjadi penyakau harta milik parti.

“Sebagai veteran UMNO, saya menggesa mereka yang menyakau kekayaan milik orang Melayu harus bertanggungjawab atas perbuatan mereka selain menyerahkan semula harta tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kepimpinan UMNO digesa menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk menyiasat semua penyakau terbabit.

“Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, mereka harus bersikap terbuka dan pemimpin-pemimpinnya juga perlu berjiwa besar menerima teguran, kritikan malah sanggup berundur demi menyelamatkan parti kesayangan orang Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan UMNO dalam tempoh 78 tahun, Mohd Yussof berkata, selain menjadi parti pemerintah, UMNO juga melahirkan geneasi muda yang berpelajaran serta berdaya maju.

“UMNO telah banyak menabur jasa kepada orang Melayu dan menerusi konvesyen UMNO pada awal 70-an kita lahirlah Maktab MARA, UiTM dan Kolej-kolej profesional MARA.

“Kejayaan itu boleh dilihat apabila seorang pelajar muncul sebagai graduan ke satu juta pada majlis konvokesyen UiTM Ogos lalu,” katanya. – MalaysiaGazette