Mutang Tagal

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal meninggal dunia pada jam 11.46 pagi Jumaat di Institut Jantung Negara (IJN), di sini.

Mendiang menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia pada Isnin, 6 Mei 2024 dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara dalam satu kenyataan berkata, maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian.

“Keluarga mendiang YB Senator Datuk Mutang Tagal mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka di dalam menghadapi masa yang sukar ini,” katanya.

Mendiang yang berusia 70 tahun dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 dan telah mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.

Beliau merupakan Orang Ulu pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak pada tahun 1982 hingga 1990.

Mendiang mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis dalam bidang perundangan.

Pemergian beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. – MalaysiaGazette