Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. foto NOOREEZA HASHIM, 09 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mestilah rakyat tempatan kerana kedua-dua syarikat tersebut terlibat dalam aset strategik negara yang penting, tegas Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Kedua-dua syarikat ini adalah aset-aset strategik negara yang mengendalikan sistem pengangkutan penting di negara ini.

“Apa yang kerajaan tahu, CEO mereka mestilah daripada orang tempatan,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian tambahan MRT 2 di antara MRT Corp dan MMC-Gamuda di Kementerian Kewangan hari ini.

Kenyataan itu turut disokong oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang turut menghadiri sidang media yang sama.

Katanya, Malaysia mempunyai ramai ahli profesional yang boleh menerajui dua syarikat berkaitan kerajaan itu.

“Kita mempunyai ahli profesional yang mencukupi dan berkelayakan untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

“Cuma kita berharap pencarian terhadap calon-calon terbaik itu dapat ditemui,” katanya.

Kedua-dua Anthony dan Guan Eng memaklumkan, kerajaan masih belum menerima senarai calon yang sepatutnya diusulkan oleh ahli lembaga pengarah syarikat terbabit kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan, setakat ini.

“Ahli lembaga pengarah yang akan menyenaraikan nama calon CEO masing-masing untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan. Keputusan akan dibuat oleh Kementerian Kewangan,” kata Anthony.

Minggu lepas CEO MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin meletakkan jawatan dengan alasan untuk menceburi peluang baharu dan buat sementara waktu, jawatan tersebut dipangku oleh Ketua Pegawai Operasi syarikat berkenaan, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh.

Manakala CEO Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain digantung tugas dan jawatannya dipangku oleh Ketua Pegawai Operasi, Nizam Alias. – MalaysiaGazette