Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mempunyai undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas pedagang Internet yang menjual barangan tidak tulen yang menyalah guna jenama terkenal.

Timbalan menterinya, Chong Chieng Jen berkata, baru-baru ini telah muncul pelbagai “barangan ciplak” dalam Internet kerana peniaga mahu mendapat keuntungan sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau memberitahu China Press, sesiapa sahaja yang menjual produk yang mencetak rompak jenama tulen, tidak kira mereka yang menjual melalui kedai atau Internet adalah melanggar undang-undang.

Chieng Jen juga menasihatkan orang ramai supaya menyediakan maklumat kepada kementerian supaya tindakan boleh diambil.

Disebabkan wujud terlalu banyak produk di Internet dan keaslian barang perlu disahkan satu demi satu dengan pihak pengedar sah, maka maklumat orang ramai adalah diperlukan.

Mengenai kawal selia terhadap platform beli-belah dalam talian, Chieng Jen berkata, pihaknya mempunyai dua kepentingan bertentangan iaitu mahu memperluaskan perdagangan elektronik dan menjaga soal kawal selia.

“Wujud kepentingan yang bertentangan dalam soal ini dan kami perlu mencari keseimbangan.

“Walau bagaimanapun, saya perlu menegaskan bahawa penjualan barangan tiruan akan dikenakan tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast