Pengerusi Pertubuhan Kesejahteraan dan Hak Rakyat (Power), S. Gobi Krishnan (dua kiri) bersama Pengerusi Pertubuhan Gerakan Anti Rasuah Negara (Gegar), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor (kiri) serta NGO yang lain menunjukkan laporan SPRM terhadap menteri dan syarikat GK Sport berkaitan serbuan polis di Private Party di Ibu Pejabat SPRM Selangor, Shah Alam. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2020.

SHAH ALAM – Sebuah NGO membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kewujudan sebuah kenderaan mewah tertera perkataan “Menteri” pada nombor pendaftaran di lokasi serbuan polis di “private parti” di Jalan Puchong awal pagi Isnin lalu.

Pertubuhan Kesejahteraan dan Hak Rakyat (Power) turut meminta SPRM Selangor menyiasat sebuah syarikat yang dikatakan pemilik kondominium tempat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beberapa pegawai khas menteri ditahan kerana positif dadah.

Pengerusi Power, S. Gobi Krishnan berkata, beliau mendapat tahu ada kereta milik menteri di lokasi kejadian, iaitu sebelum anggota polis menyerbu premis persendirian itu, daripada seorang saksi yang kebetulan pulang ke rumahnya di kondominium berkenaan.

“Kami telah dihubungi seorang saksi, iaitu individu yang melaporkan kejadian private parti di sebuah kondominium itu yang melihat ada sebuah kereta MPV Toyota Alphard tertera perkataan “Menteri” pada nombor pendaftaran di lokasi.

“Saksi itu bagaimanapun tidak melihat kelibat menteri, tetapi hanya melihat pemandunya sahaja, yang meninggalkan premis berkenaan sebelum anggota polis membuat serbuan.

“Saksi ini akan dipanggil SPRM Selangor petang ini untuk mendapatkan keterangan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di ibupejabat SPRM Selangor di sini, hari ini.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penahanan 17 individu dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, dekat sini awal pagi Isnin.

Menurut Abdul Hamid, daripada 17 individu yang ditahan, 16 orang disahkan positif dadah dan seorang bebas dari penyalahgunaan dadah selepas ujian air kencing.

“Didapati 10 lelaki Melayu, seorang lelaki Cina, tiga wanita Melayu, seorag wanita Iban, seorang wanita berbangsa Sulu dan seorang wanita dipercayai dari ngara jiran sedang berhibur dan khayal dengan bunyi muzik mengganggu ketenteraman penghuni di kondominium berkenaan,” kata Abdul Hamid.

Bagaimanapun, ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang dikatakan berada di lokasi kejadian menafikan beliau ditahan polis kerana positif dadah.

Ketua Armada Selangor itu berkata, dakwaan berkenaan adalah satu fitnah, kerana dakwanya beliau berada di rumahnya di Pulau Meranti, Puchong pada malam serbuan itu dibuat.

Menurut S. Gobi, pihaknya turut meminta polis mendedahkan kepada umum siapakah menteri yang berada di tempat kejadian dan mengapa maklumat itu tidak didedahkan kepada umum pada sidang media Ketua Polis Negara baru-baru ini.

“Malah dalam kenyataan akhbar KPN itu langsung tidak membangkitkan bahawa ada kenderaan milik menteri di tempat kejadian.

“Dengan itu, kami membuat laporan SPRM untuk agensi penguatkuasaan itu menyiasat kes berkenaan kerana dikhuatiri wujud salah guna kuasa atau unsur rasuah untuk menutup siasatan polis.

“Kami juga mahu SPRM menyiasat syarikat berkenaan, iaitu pemilik premis terbabit yang turut ditahan pada awal pagi itu kerana mendapat banyak kontrak terutama dari Kementerian Belia dan Sukan sejak 2015 tahun 2019,” katanya.

Kata beliau, siasatan juga harus dilakukan untuk mengetahui sama ada semua kontrak yang telah diberikan dan akan diberikan kepada syarikat terbabit mematuhi peraturan tender yang ditetapkan atau sebaliknya.

“Sebagai penyokong kuat kerajaan Pakatan Harapan (PH), Power terpanggil untuk melaporkan perkara ini, kerana kami tidak mahu imej dan nama baik PH berlandaskan reformasi terjejas dan terpalit dengan isu rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

“Kami minta SPRM menyiasat dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan umum,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dah serius dakwaan ni, melibatkan orang2 penting parti BERSATU? Mungkin boleh kerjasama dengan FBI untuk meyelesaikan kes dengan lebih berkesan!

Comments are closed.