Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun bercakap kepada media selepas membuat lawatan semakan peralatan dan peti undi pada persiapan akhir sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 176 Kimanis di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 17 JANUARI 2020

BEAUFORT – Sebanyak 68 saluran dan 19 pusat mengundi akan disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang akan dibuka, esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, seramai 650 petugas SPR akan ditempatkan di semua saluran dan pusat mengundi bagi melancarkan proses pengundian, esok.

“Untuk esok terdapat 29,618 pengundi dan terdapat 68 saluran dan 19 pusat mengundi.

“Jumlah petugas SPR yang akan bertugas esok ialah 650 orang.

“Kita akan membuka pusat-pusat mengundi pada 7.30 pagi lebih awal dan ditutup 5 petang,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau di pusat penjumlahan undi di situ bagi melihat proses pengedaran kelengkapan pilihan raya kepada 68 ketua pusat mengundi.

“Semuanya nampak berjalan dengan lancar sekali, Tuan Arul sedang memberi garis panduan kepada ketua-ketua pusat mengundi mengenai apa yang patut ada dalam pakej mereka untuk saluran mereka esok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para pengundi agar keluar lebih awal esok bagi mengelakkan mereka tidak berkesempatan menjalankan tanggungjawab membuang undi.

“Saya harap pengundi dapat keluar dengan cepat pada pagi hari, jangan berlengah-lengah kerana kita tak mahu ada orang yang terlambat nanti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penyokong dan jentera kedua-dua parti yang bertanding agar memastikan segala bentuk kempen dihentikan tepat jam 12 tengah malam ini.

“Acara-acara kempen juga patut diberhentikan pukul 12 tengah malam ini termasuk dalam alam maya media sosial,” katanya.

Bagi melancarkan proses pengundian esok, beliau mengingatkan jentera parti patuh kepada undang-undang pilihan raya termasuk tidak mendirikan barong panas.

“Kita harap tiada lagi orang pakai baju berlogo parti dan menggambarkan calon dalam jarak 100 meter dari kawasan pusat mengundi.

“Saya seru orang ramai tidak berkumpul di tepi jalan menimbulkan provokasi antara satu sama lain dan saya percaya rakyat Sabah tidak berbuat demikian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette