Sebahagian penyokong yang hadir pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Ibu Pejabat PKR Tropicana, Kota Damansara, Selangor. foto IQBAL BASRI, 18 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Majoriti Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR hari ini mahu Jawatankuasa Displin memecat segera Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Menurut MPN Kedah, Datuk Johari Abdul, 11 daripada 14 ketua MPN itu berpendapat Zuraida telah melanggar beberapa perkara-perkara penting dalam parti termasuk menghina Presiden.

“Kami mendesak setelah mendapat sokongan daripada ketua cabang mendesak supaya Zuraida hendaklah dipecat daripada parti.

“Kami menurut supaya Lembaga Displin mengkaji sedalam dalamnya dan semua tuntutan yang dibuat terhadap beliau. Kami mewakili pimpinan negeri yang majoriti banyak memohon agar Lembaga Displin memecat Zuraida daripada parti kerana kedudukan beliau dalam parti sekarang tidak langsung membantu parti dan presiden,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), hari ini.

Dalam pada itu, Johari berkata, kehadiran Zuraida dalam parti tidak memberikan sebarang makna selain menggerunkan keadaan.

“Dia tidak membantu langsung, apabila pimpinan parti yang tidak sehaluan dengan perlembagaan parti, itu tidak ada masalah.

“Bila pelanggaran berlaku kita mesti tegas mengambil tindakan terhadap mana-mana tidak kira dia menteri atau tidak. Selagi ahli parti dan pemimpin parti, maka kena patuh dengan apa yang tertulis dalam perlembagaan dan keputusan yang dibuat dari masa ke semasa.

Antara MPN lain yang mendesak agar Zuraida dipecat adalah MPN PKR Perak, Farhash Wafa Salvador, Fuziah Salleh (Pahang), Azan Ismail (Terengganu), Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor (Kelantan), Halim Bachik (Melaka), Amran Kamaruddin (Perlis), Syed Ibrahim Syed Noh (Johor) dan Zahir Hassan (Wilayah).

Yang tidak hadir namun dipercayai mengambil pendirian sama adalah Aminuddin Harun (Negeri Sembilan) dan Muhammad Bakthiar Wan Chik (Pulau Pinang).

Tidak hadir adalah Cristina Liew (Sabah), Baru Bian (Sarawak), dan Datuk Seri Amiruddin Shaari (Selangor).

Dalam pada itu, Farhash menolak dakwaan bahawa kehilangan Zuraida akan memberi kesan kepada pergerakan sayap parti khususnya wanita.

“Kalau lihat di Perak, daripada 24 cabang, 22 cabang mendesak agar Zuraida dipecat. Dua yang menolak itu adalah pegawai Zuraida dan seorang lagi adalah pro ke arah Zuraida.

“Begitu juga dengan AMK, hanya satu yang menolak dan lain menyokong. Wanita pun sama,” katanya dalam sidang media sama.

MPP hari ini mengambil pendekatan mengemukakan tempoh dua minggu untuk Zuraida mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Lembaga Displin parti berhubung pelbagai laporan salah laku terhadap dirinya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.