WASHINGTON – Amerika Syarikat akan mula melaksanakan saringan di tiga lapangan terbang negara itu kepada pelancong yang terbang dari Wuhan, China bagi mengekang penyebaran coronavirus, sejenis virus baharu yang telah mengorbankan dua mangsa dan menjangkiti 45 yang lain.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), proses saringan itu akan diadakan di lapangan terbang San Francisco, New York dan Los Angeles bermula Jumaat.

Ia akan memberi fokus kepada pengguna lapangan terbang yang memasuki Amerika Syarikat sama ada melalui penerbangan terus mahu pun transit dari Wuhan.

Setakat ini, virus tersebut telah tersebar ke Jepun dan Thailand.

Menurut pegawai CDC dalam satu sidang televideo bersama media, mereka menjangkakan lebih banyak kes akan dilaporkan di luar China.

Bagaimanapun, risiko terhadap rakyat Amerika dijangkakan rendah.

Menurut Pengarah Jabatan Migrasi Global dan Kuarantin CDC, Dr. Martin Cetron, agensi tersebut akan menghantar kira-kira 100 kakitangan tambahan ke tiga-tiga lapangan terbang berkenaan bagi menambaj kakitangan sedia ada di stesen kuarantin lapangan terbang tersebut.

Di bawah prosedur saringan tersebut, pengguna lapangan terbang yang tiba dari Wuhan akan dibawa ke satu kawasan berasingan di mana mereka perlu menjawab satu set borang kaji selidik dan diperiksa sama ada mempunyai demam atau tidak.

Tambah CDC, prosedur saringan mungkin diubah mengikut perkembangan penyebaran wabak berkenaan.- Agensi