Calon BN, Datuk Mohamad Alamin bersama barisan pemimpin UMNO selepas diumumkan sebagai pemenang di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 176 Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2020

BEAUFORT – UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan meletakkan tanggungjawab memperjuangkan rakyat Sabah kepada Datuk Bung Moktar Radin dan Datuk Mohamad Alamin sebagai wakil Sabah di Dewan Rakyat.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tugas pertama bakal digalas kedua-dua wakil rakyat ini ialah untuk memastikan Pas Sementara Sabah (PSS) ditolak di Parlimen nanti.

“Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Bung Moktar Radin merupakan dua orang wakil daripada UMNO dan BN yang akan duduk di Dewan Rakyat.

“Insya-Allah kedua-duanya akan memperjuangkan nasib rakyat terutamanya dalam menolak PSS,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, di sini, malam ini.

Terdahulu, Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jupery Etok mengumumkan bahawa PRK P176 Kimanis dimenangi oleh Mohamad dengan majoriti 1,913 undi.

Mohamad memperoleh 12,414 undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang yang mendapat 10,501 undi.

Kejayaan BN mempertahankan kubu kuatnya itu akan menambah seorang lagi wakil rakyat daripada pembangkang bagi mewakili rakyat Sabah di Parlimen.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berkata, kemenangan BN itu akan memudahkan parti itu melaksanakan agenda untuk rakyat Sabah yang masih gagal ditunaikan Kerajaan PH dan Warisan.

“Kita akan melaksanakan Perjanjian Malaysia (MA63) jika BN jadi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat di Putrajaya, Insya-Allah.

“Kita akan menawarkan manifesto nanti bila sampai masanya untuk dihidangkan oleh BN Sabah sebagai akujanji baharu kepada rakyat Sabah khususnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette