Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Mujahid Yusuff Rawa bersedia untuk berdialog dengan kumpulan G25 untuk memberi penjelasan mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan dalam laporan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu dengan syarat ia menarik balik kenyataan yang mengatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) tidak sah dari segi perlembagaan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau kesal dengan tindakan G25 mengeluarkan laporan yang tidak disahkan dan kemudiannya telah menjadi perbualan awam.

Jelasnya, sesebuah laporan kajian bukanlah sesuatu yang mutlak kerana ia masih memerlukan penelitian dan perbincangan terlebih dahulu.

“Apa motifnya sehingga dibawa ke perdebatan umum kerana apabila didebatkan secara umum ia akan menimbulkan kebimbangan.

“Ini tidak membantu langsung untuk memperbaiki pentadbiran.

“Mereka juga tidak boleh mempertikaikan keabsahan (JAKIM dan MKI).

“Dalam isu murtad pula, jika ia adalah satu perdebatan akademik maka bataskannya kepada perdebatan akademik sahaja.

“Jangan dibawa turun ke peringkat orang ramai kerana saya rasa, apabila masih ramai yang tidak matang dan tidak boleh menerima perbezaan pendapat sebegitu, ianya boleh menjadi satu isu sensitif seperti yang berlaku sekarang,” katanya semasa sidang media selepas menyerahkan watikah Majlis Pimpinan Tertiggi Rakan Siswa YADIM di sini hari ini.

Tambah Mujahid, pihaknya sudah beberapa kali menjelaskan dakwaan G25 mengenai peruntukan berjumlah RM1.3 bilion yang dikatakan terlalu banyak untuk sesebuah agensi tetapi masih tidak diterima.

“Kita sudah cakap 60 peratus daripada peruntukan tersebut disalurkan untuk elaun imam, guru KAFA yang seramai 30,000 orang itu dan sebagainya.

“Tetapi mereka masih mempertikaikannya.

“Seperti biasa pintu saya sentiasa terbuka tetapi saya kena letak satu premis, jika hendak berbincang dengan saya maka kenalah tarik semula kenyataan tersebut.

“Kalau JAKIM dan MKI tidak sah dari segi perlembagaan susahlah nak berbincang dengan saya iaitu seorang menteri yang tidak sah dari segi berpelembagaan,” katanya lagi.

Sabtu lalu G25 telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk “Hal-Hal Pentadbiran berkaitan Islam” yang bersandarkan kepada sebuah kajian mendalam terhadap latar belakang dan sejarah pentadbiran Islam sejak beberapa tahun lalu.

Ia telah mengundang kritikan pelbagai pihak kerana menyentuh banyak isu-isu sensitif termasuk murtad. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nak kaji islam macam mana kalau sejarah nabi pun tak tahu. sunah nabi sebenar apa2 yang berlaku dalam mesjid nabawi dan sekitarnya. bukan sunah kalau diambil diluar mesjid nabi. sejarah luar mesjid lebih terkenal dan diikuti oleh ramai umat islam. tapi sejarah dalam mesjid mereka ketepikan. cuba pergi ziarah mesjid pondok yang mengajar sunah sebenar. disitu ada orang2 bersuluk dan berzikir. murakabah. ada tawajuh lepas sembahyang isyak. dan lain2 amalan dalam mesjid nabawi ketika zaman nabi.

Comments are closed.