Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 176 Kimanis di Sekolah Kebangsaan Our Lady, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2020

KIMANIS – Kedua-dua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, akan melaksanakan tanggungjawab mengundi, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin bersama isterinya, Datin Dr Rohamini Sibin akan hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Old Lady, Kampung Kelatuan, Batu Enam kira-kira jam 8 pagi ini.

Manakala, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Kimanis pada 10 pagi nanti.

Kesemua 19 pusat mengundi dibuka tepat jam 7.30 pagi dan ditutup pada 5 petang ini.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 176 Kimanis di Sekolah Kebangsaan Our Lady, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2020

Sebanyak 68 saluran akan dibuka di 19 pusat mengundi bagi PRK P176 dan pusat penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

Sementara itu, 29, 618 pengundi berdaftar di Parlimen Kimanis akan melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka, menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Seri Anifah Aman.

Pada Januari lalu, seramai 9 anggota dan pegawai polis sudah membuang undi awal di Balai Polis Membakut, di sini.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada PRU14, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada Anifah, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula meraih 1,300 undi. – MalaysiaGazette