Zuraidah Kamaruddin. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin diberikan tempoh dua minggu untuk mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Lembaga Displin parti berhubung pelbagai laporan salah laku terhadap dirinya.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, surat itu telah dihantar kepada pihak Zuraida semalam.

“Semalam Zuraida telah dihantar satu surat tunjuk sebab dan bermula semalam beliau ada 14 hari untuk memberikan penjelasan dan selepas itu barulah Lembaga Displin akan buat apa-apa tindakan selanjutnya.

“Samada dilakukan pendengaran atau digugurkan itu adalah kuasa Lembaga Displin, dibawah Datuk Ahmad Kasim,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), hari ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Ibu Pejabat PKR Tropicana, Kota Damansara, Selangor. foto IQBAL BASRI, 18 JANUARI 2020

Lembaga Disiplin PKR dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti itu termasuk Zuraida berkait insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Kassim berkata, siasatan menjurus insiden yang berlaku sebelum atau selepas kongres.

Antara insiden besar ketika kongres berkenaan ialah pergaduhan yang menyebabkan kecederaan ahli ketika Kongres AMK 2019 dan tindakan beberapa pemimpin kumpulan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memboikot hari terakhir kongres tersebut.

Memburukkan keadaan apabila kem Azmin mengadakan majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di ibu negara pada 8 Disember tahun lalu dengan ucapan beberapa pemimpin mengkritik keras pimpinan termasuk Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -MalaysiaGazette