Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua,kanan) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub (kanan) melepaskan peserta larian pada Antibitic Fun Run 2020 di Goat2go Farm Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA – Bekalan makanan di pasaran mencukupi bagi sambutan perayaan Tahun Baharu Cina minggu hadapan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam mengawal harga bekalan makanan.

“Apabila bekalan makanan cukup, pemantauan perlu dibuat supaya harga lebih stabil,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Antibiotic Fun Run 2020 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini.

Sementara itu, Salahuddin berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan meningkatkan pemantauan ekoran larangan penggunaan antibiotik colistin ke atas haiwan ternakan.

“Langkah ini bertujuan memastikan binatang ternakan yang akan menjadi bekalan makanan manusia adalah selamat,” katanya lagi.

Beliau berkata penggunaan antibiotik colistin secara tidak berhemah dalam jangka panjang berisiko memberi impak buruk kepada kesihatan manusia.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penggunaan antibiotik yang berleluasa boleh menyebabkan berlaku kerintangan antibiotik atau ‘antimicrobial resistance’ (AMR). Ia menyebabkan antibiotik yang digunakan tidak lagi berkesan terhadap bakteria yang menyebabkan jangkitan penyakit dan wujud bakteria kebal.- BERNAMA